Kekal Waras Di Jalan Raya

Posted by BuDakn4ruTo | 6:31 PM | | 0 comments »

Mungkin anda pernah dengar kenyataan tentang rakyat negara ini yang amat peramah tetapi berubah dengan mendadak sebaik sahaja memandu di jalan raya.

Ada pemandu yang berhemah, ada yang baru ‘belajar’ memandu dan ada pula yang seperti pemandu lagak ngeri di jalan raya Malaysia.

Bagaimanapun, bilangan yang memandu secara berbahaya ‘dengan sengaja’ mungkin tidak sebanyak yang memandu dengan baik ataupun sedang cuba memandu dengan baik.

Sesekali terdapat juga di kalangan pemandu yang suka melakukan perkara yang menyakitkan hati seperti memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kemalangan atau kenderaan rosak di tepi jalan.

Tindakan sebegini bukan sahaja berbahaya kerana mengalihkan pandangan pemandu ke tepi malahan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk yang tidak sepatutnya berlaku.

Pemandu lain yang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas itu akan berasa lebih tertekan jika sedang mengejar masa ataupun jika mereka dalam perjalanan pulang selepas penat bekerja seharian.

Sakit hati, sakit kepala dan sakit jiwa dengan cara pemanduan sebilangan kecil pemandu bermasalah ini mungkin memberi kesan mendalam kepada emosi kebanyakan pemandu lain di jalan raya.

Pakar Psikologi Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur, Choo Leong Huey Mei menjelaskan, stres kepada pemandu atau penumpang di jalan raya akan menjadikan pemikiran mereka lebih negatif dan senang marah.

“Rasa geram, marah dan tertekan akan mengganggu fikiran pemandu menyebabkan mereka cepat melenting.

“Pemandu yang tidak dapat menampung tekanan ini menjadikan jalan raya tempat melepaskan geram dengan memecut atau mengejar pemandu lain yang memotong atau menghimpit kenderaannya sebelum itu,” katanya.

Menurut beliau, seorang pemandu yang tenang mungkin tidak terlalu mengambil kisah perbuatan ‘kurang ajar’ sesetengah pemandu lain serta lebih suka menyelesaikan masalah seperti kemalangan kecil dengan cara baik.

Tambahnya, pemandu yang stres dan sedang marah pula mungkin akan mengambil tindakan melulu terhadap individu yang memandu secara berbahaya dan berkemungkinan besar memilih cara perbalahan untuk menyelesaikan masalah kemalangan.

Bagaimanapun, aksi memecut pemandu stres dengan pelumba haram jalan raya adalah berbeza kerana pelumba haram melakukannya untuk hiburan dan bergembira.

Bagi golongan ini, memandu laju dan berlumba memberikan kegembiraan dan lebih suka kalau risikonya lebih tinggi. Pelumba jalan raya menjadi antara penyumbang kepada stres pemandu lain yang kebanyakannya hanya menggunakan jalan raya untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Pemandu stres yang mencapai kemuncak kesabarannya pula mungkin akan memecut dan mengejar walaupun tahu tindakan itu berbahaya dan tidak membawa faedah.

Personaliti seseorang pemandu juga memainkan peranan penting dalam menentukan tahap tindakan agresif yang diambil ketika sedang marah, terutamanya bagi mereka yang tidak mahu mengalah.

Ini jelas ketika pemandu yang tidak mahu memberi jalan kepada kenderaan lain yang telah memberikan isyarat untuk menukar lorong ataupun mereka yang mengejar pemandu yang mengangkat lampu tinggi atau membunyikan hon.


Kerisauan diri juga makin tinggi kerana khuatir individu lain di dalam kenderaan itu, sama ada mereka itu jahat, kurang siuman atau suka meraba.

Kanak-kanak pula akan lebih tertekan jika terpaksa menghabiskan masa yang panjang di dalam kereta atau pengangkutan awam kerana tidak selesa dan membuatkan mereka cepat letih.

Selain itu, cuaca panas akan menyebabkan kanak-kanak cepat meragam kerana sudah tidak tahan berada di atas jalan raya sepanjang masa.

* Tanda stres

Menurut Huey Mei, pengguna jalan raya perlu mengenal pasti tanda-tanda tekanan perasaan, terutamanya bagi pemandu kerana perubahan fisiologi dan mental akan mempengaruhi cara pemanduan mereka.

“Ketegangan otot, denyutan jantung yang laju dan berpeluh (dalam keadaan sejuk) menjadi antara tanda awal stres.

“Stres berpanjangan pula akan membawa kepada penyakit jantung, otot kejang, sakit belakang, sakit kepala dan sakit leher kelak,” ujarnya.

Tambah beliau, seseorang yang sering tertekan akan menjadi seorang pemarah dan senang meradang.

Jelasnya, perubahan sikap ini bukan sahaja akan mengganggu komunikasi dengan ahli keluarga mereka malahan akan memburukkan kebolehan seseorang bersosial di luar dan di tempat kerja.

Lebih buruk lagi jika tahap kesabaran seseorang pemandu sampai ke kemuncaknya, boleh membawa kepada pergaduhan besar dengan pemandu lain di jalan raya atau lebih teruk lagi, melahirkan lebih ramai golongan pembuli jalan raya.

Pengeluaran hormon adrenalina oleh badan pula dikaitkan dengan peningkatan ketegangan kepada otot-otot badan dan degupan jantung lebih laju sebagai tindak balas terhadap kejadian mengejutkan seperti dipintas atau brek kecemasan.

Selain tidak dapat mengawal kemarahan dan semakin mudah meradang, pemandu yang stres juga akan berasa kurang gembira dengan kehidupan sehariannya serta tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Masalah tidak cukup tidur ini pula akan menyebabkan badan sentiasa terasa letih, kurang bertenaga untuk bekerja, hilang selera makan dan kurang berminat melakukan aktiviti luar.

Tanda-tanda stres di jalan raya:

* otot tegang di bahu, belakang leher dan bahagian lain badan

* ketip gigi - otot muka tegang akibat emosi memuncak*

* tekanan darah naik, berpeluh (walaupun sejuk)

* jantung berdenyut laju

* pupil mata menjadi lebih besar.

Beberapa kesan stres terhadap kesihatan

* Darah tinggi

* Lelah

* Penyakit kulit jerawat, psoriasis dan ekzema

* Sakit jantung dan strok

* Masalah sinus atau resdung

* Kemahuan seksual yang lebih rendah

* Gangguan tidur

* Sakit kepala atau migrain

* Kemurungan.

* Kawal kemarahan

Untuk menenangkan diri dan mengawal kemarahan, anda juga perlu mengenali perubahan fisiologi ketika marah atau stres.

Dari segi fisiologi, perubahan pada kelajuan nafas dan denyutan jantung pemandu yang sedang marah amat sukar untuk dikawal.

Perasaan marah yang membuak-buak juga sukar dipendam sehinggakan membawa kepada tindak balas yang lebih agresif terhadap semua perkara walau sekecil mana sekalipun.

Huey Mei menjelaskan minda manusia boleh dilatih untuk bersabar dan berfikiran secara waras dan tidak terlalu mengikut emosi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Kita perlu tetapkan dalam minda untuk bersabar dan tidak mengambil sesuatu tindakan yang boleh membuat kita menyesal di kemudian hari.

“Sebagi contoh, tindakan menggunakan pengunci stereng untuk memukul pemandu yang membuatkan kita marah akan menjadikan anda seorang yang lebih agresif dan akan mengulang perbuatan itu lagi kelak,” katanya.

Kata beliau, alat seperti pengunci stereng itu sepatutnya hanya digunakan sebagai alat mempertahankan diri dan bukan untuk menyakiti individu lain dengan sesuka hati.

Sifat memukul ini juga jelas dilihat dalam kejadian pembuli jalan raya di mana mereka menggunakan objek keras untuk memukul kereta atau pemandu yang membuatkan mereka marah.

Berkemungkinan juga golongan pembuli ini pada asalnya hanya pemandu biasa yang berhemah tapi lama-kelamaan semakin agresif akibat tidak dapat menahan kemarahan terhadap pemandu yang memandu secara melulu.

Terdapat beberapa langkah bagi mengelakkan diri menjadi seorang yang terlalu agresif.

Perkara paling utama adalah dengan mengingatkan dan berjanji pada diri untuk tidak membuat sesuatu yang akan disesali pada kemudian hari. Tiada makna dalam mengejar pemandu lain yang kurang ajar.

Apa yang dapat dilakukan jika anda dapat mengejar mereka? Sikap kejar-mengejar ini hanya akan menggalakkan pemanduan secara berbahaya, memecut laju, pergaduhan dan perlumbaan di jalan raya.

Selain itu, anda juga boleh melepaskan rasa geram dan marah dengan menjerit di dalam kereta.

Tindakan ini tiada apa-apa faedah tetapi dapat melepaskan kemarahan yang timbul akibat cara pemanduan berbahaya pemandu lain.

Selepas menjerit, anggap sahaja anda sudah melepaskan kemarahan itu dan lupakan sahaja pemandu yang kurang ajar itu kerana tindakan mahu berbalah dengan pemandu itu hanya akan merumitkan lagi keadaan.

Adalah tidak elok untuk seseorang itu memendamkan perasaan atau berpura-pura tidak marah kerana lama-kelamaan ia akan terkumpul dan meletus juga.

Cuba mengawal pernafasan, mendengar muzik lembut atau radio kerana telatah penyampai radio mungkin membantu menenangkan diri.

Anda juga boleh cuba mencari jalan yang lebih berkesan untuk meluahkan perasaan marah tanpa memberikan kesan buruk kepada diri sendiri atau individu lain.

Individu yang mengamalkan aktiviti senaman khas atau meditasi tertentu lebih mudah menenangkan diri kerana telah melatih diri kembali tenang ketika sedang marah. Namun, bagi golongan biasa yang tidak pernah melatih diri bertenang, ini amat sukar untuk dicapai.

Anda boleh mencuba cara hipnosis diri dengan ‘memberitahu’ diri sendiri untuk bertenang, tidak mahu cari masalah atau perbuatan pemandu tadi cuai dan mencemaskan tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan.

Jika keadaan lalu lintas sesak pula, fahami bahawa tiada apa yang boleh dilakukan kerana kenderaan anda telah terperangkap dan tiada faedahnya menyakit hati dengan menyumpah atau memarahi pemandu lain.

Kaedah meditasi mini pula memerlukan anda untuk mengosongkan fikiran dan jangan banyak berfikir.

Ini dapat membantu menenangkan minda sambil mengisikan fikiran dengan sesuatu yang menenangkan minda seperti pemandangan cantik di pantai, gunung, awan atau ketenangan sewaktu sedang tidur.

Cara ini bukan sesuatu yang mudah dan akan memerlukan latihan berterusan. Belajar cara tersendiri untuk bertenang tetapi jangan tunggu sehingga rasa hampir mengamuk untuk melatih diri bertenang.

Muzik juga sesuai digunakan untuk bertenang tetapi bukan semua muzik boleh menenangkan perasaan.

Muzik spa, muzik lembut atau bunyi semula jadi lebih menenangkan daripada muzik rancak yang hanya akan meningkatkan semula semangat agresif diri dan meningkatkan semula keinginan untuk memecut dan bertelagah.

Dalam pada itu, Huey Mei turut mengemukakan satu lagi cara untuk bertenang yang dikenali sebagai hipnosis ketenangan.

Cara ini boleh dipelajari daripada pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan kesan penuh meletakkan diri sendiri di bawah hipnosis untuk kembali tenang. Cara ini akan lebih berkesan jika latihan kerap dilakukan bagi memadamkan ketegangan yang timbul.

Di bawah ‘mood tenang’ kaedah ini, anda dapat menumpukan perhatian kepada masalah yang timbul dan bukan melayan emosi dan perasaan.

Kaedah ini mengaplikasikan minda separa sedar otak yang mempunyai kuasa yang kuat dan berpotensi membolehkan kita melakukan apa sahaja termasuk menguruskan badan dan berhenti merokok.

Bagi penumpang kenderaan atau pengangkutan awam pula, adalah lebih mudah untuk mereka mengawal kemarahan kerana tidak memandu.

Cuba membaca buku, majalah atau komik untuk mengalihkan perhatian diri daripada benda yang merunsingkan dalam kenderaan tersebut dan jangan terlalu fokus kepada benda yang membuat diri rasa menyampah, geram atau marah.

Kemalangan jalan raya mungkin menjadikan stres memuncak sehingga membawa kepada tindakan melulu sesetengah pemandu. Oleh itu kena sentiasa beringat untuk mengawal diri daripada bertindak secara melulu supaya tidak menyesal kelak.

Bagi pemandu yang berhemah elakkan diri daripada menjadi seorang yang terlalu agresif.

Biarkan pemandu yang tidak berhemah dengan cara mereka kerana perbuatan yang melampaui batasan pasti akan menerima balasannya kelak.

Jagalah kewarasan diri, jagalah perlakuan diri dan jangan pula anda menjadi penyumbang stres kepada pengguna jalan raya yang lain.

0 comments